Kepada sosok tubuh yang saya kagumi, yang tulisannya selalu menjadi tempat saya berteduh hati.
Buya Hamka,
Seawal umur 12 tahun saya telah diperkenalkan dengan Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, tidak pernah saya menyangka bahwa 15 tahun kehadapannya saya akan menjejakkan kaki ke tanah tempat Zainudin dan Hayati berbalas pandangan dan berbagi perasaan. Tidak pernah saya menyangka akan menjejakkan kaki ke tanah tempat Buya sendiri meluahkan segala rasa dan amatan.
Ketahuilah, kedatangan saya bukan sahaja membawa visi dan inspirasi, tetapi juga hati yang hampir menyerah dan mati. Dan kembara ini mungkin saja usaha yang terakhir tanpa saya menduga bahawa ia adalah titik permulaan pada sesuatu yang lebih bermakna dari apa yang pernah dihilangkan pergi.
Demikianlah manusia. Dia menyangka bahawa harapan itu telah terputuskan oleh rentapan luar tanpa menyedari bahawa dialah yang memutuskan dengan tangannya sendiri.
Buya Hamka,
Kerana percayanya hati saya ini dengan kata-kata Imam Ghazali bahawa hati itu bisa dijemput pulang menerusi perenungan alam, maka tercampaknya tubuh kerdil ini di sini. Dan bersaksilah bahawa ia benar. Melihat alam itu seperti meluahkan rasa tanpa perlu berbicara. Merenung alam itu seperti melepaskan rindu dan gundah hanya menerusi pandangan mata yang lara.
Seperti kita membenamkan rahsia tanpa perlu melubangkan jiwa..
Nasihat Pak Dasri itu tepat sekali, menjadi pencinta alam itu jangan sampai dilupakan pada pencipta alam. Kerana kalau ciptaan itu juga sudah mampu menenangkan, seperti apa lagi perasaannya kalau berada dekat pada yang menciptakan ciptaan itu? Kan seharusnya syukur itu dipanjatkan pada si pemberi, bukan pada pemberiannya yang dilazimi.
Buya Hamka,
Sayalah keduanya. Bukan Zainudin. Bukan Hayati. Tapi saya adalah gabungan mereka. Yang pernah berlindung pada yang salah dan melepaskan janji selepas setelah. Dan saya juga keduanya yang menyesal kecewa sesudah terlanjur bicara menyakiti dan melukai.
Namun saya tetap saja saya, walaupun kisah mereka berakhir dengan kematian, tetapi saya masih hidup. Dan kisah saya masih bisa diteruskan walaupun tiada helaian selepas helaian yang terakhir. Kerana saya masih hidup. Dan hidup saya tidak terbatas pada pena dan kertas. Seperti kata buya sendiri :
“Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tiada pengharapan? Bukankah cinta itu sudah satu keuntungan dan pengharapan?”
Pengharapan itulah yang membuatkan hati rasa terpandu, persis pedoman Ustaz Abdullah Bukhari akan pesan Tuhan untuk menjadikan alam sebagai kompas kehidupan. Hati rasa terpadang, dan itulah hikmahnya persis wejangan Encik Hanapi bahawa pengalaman itu melalui perasaan dan bukannya bacaan.
Buya Hamka,
Telah saya selesaikan di sini. Telah saya lepaskan cengkaman kukuh yang suatu ketika dahulunya saya menggengam utuh, sehinggakan culas untuk saya sedari bahawa genggaman itu sebenarnya telah meninggalkan luka dan lelas yang membekas.
Dan sesungguhnya melepaskan itu menyembuhkan.
Telah saya selesaikan di sini.
Telah saya kuburkan di sini.
Semoga yang terkubur itu, darinya dapat menumbuhkan sesuatu yang subur.
Telah saya kuburkan di sini.
Semoga yang terkubur itu, darinya dapat menumbuhkan sesuatu yang subur.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata : “ Ya Rabb Kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Ali-Imran 3:190-191)
(Sumatera Barat, 15.12.2018 - 12.10am)

No comments:
Post a Comment